Ada Batas yang Menjarakkan.

29.11.09

Ehem, ehem, ehem!
Hari ini, aku nak berkongsi cerita.
Dipetik dari laman web paling best, iLuvislam.com .
Bila baca cerita ni, teringat pulak zaman jahiliah aku dulu.
Rapat-rapat dengan kaum muslimin.
Bila ingat-ingat balik, rasa bodoh je.
Perasaan malu pun ada jugak.
Sebab tu bila teringat senyum sengsorang.
Huhuhuhuhuhu.


ADA BATAS YANG MENJARAKKAN

Aku sudah terlelap kiranya. Tiba-tiba telefonku berbunyi. Ada mesej!

"Dah tidur? Aku nak tanya sesuatu..." Pendek sahaja mesej itu
.
Jam sudah menunjukkan pukul satu pagi. Aku agak terkejut meneerima mesej dari dia. Mesej yang merangkumi pelbagai soalan dan tanda tanya. Dia masih seperti dulu. Sering saja melakukan perkara yang menimbulkan persoalan. Sifat itu masih ada rupanya dalam dirinya. Aku fikir dia sudah berubah sepenuhnya. Aku membalas mesejnya. Kami saling berbalas mesej buat sekian lamanya kami tidak berhubungan. Malam itu aku tidak dapat tidur dengan lena. Mesej dari kawan yang pernah aku akrab dulu. Dulu, kami memang berlainan jantina. Dia lelaki, aku perempuan. Takdir menempatkan kami berada dalam satu kelas. Aku diarahkan berpindah tempat duduk di belakangnya. Dia menegurku buat pertama kali. Aku masih ingat soalan yang diajukan.

“Kau selalu clubbing?”

Tidak pernah aku diajukan soalan seperti itu. Tetapi, aku segera mengerti. Pembawakan diriku mebuatku kelihatan seperti remaja yang terlalu sosial namun untuk menjejakkan kaki ke kelab malam agak mustahil bagiku. Aku tidak gemar akan suasana yang bising. Soalannya itu membuatku berasa tidak senang tentang dia. Namun, ada sesuatu antara kami yang merapatkan sekaligus menjadikan hubungan kami boleh digelar sahabat.

Aku masih ingat lagi Fatin berkata pada Nurul,
“Rina dengan Adam itu bagai isi dengan kuku, apa cerita Rina semua tahu.”

Waktu itu Nurul bercerita tentang Adam pada aku dan Fatin. Cerita tentang keburukan Adam. Aku mendengar sahaja. Mungkin apa yang diceritakan Nurul itu betul. Adam boleh dikategorikan pelajar yang kurang berdisiplin. Ada sahaja peraturan sekolah yang dilanggarnya. Namun, prestasi akademinya sentiasa berada di tahap yang teratas. Dia pernah merangkul gelaran pelajar lelaki nombor satu dalam tingkatan. Itulah yang membuatku kagum terhadapnya. Biarpun dia nakal, tetapi dia masih ingin memenuhi hasrat kedua ibu bapanya. Denganku, dia tidak sombong. Kami banyak berkongsi cerita. Kami saling bergelak ketawa. Kami saling bantu-membantu. Kamilah penghibur di dalam kelas. Rakan-rakan sekelas mengerti tentang persahabatan kami yang bagai isi dengan kuku.






Kedua-dua kami boleh dikatakan mempunyai perangai yang hampir sama, suka menyakat orang lain. Cuma ada sedikit perbezaan antara kami, tatkala dia merupakan pelajar harapan sekolah. Aku pula merupakan antara pelajar yang ketinggalan. Namun, dia tidak pernah menjadikan itu alasan untuk menjauhi aku. Mungkin ada yang negatif tentang dia. Kadang-kadang aku juga tidak senang dengan sikapnya yang mudah berlagak dengan kehebatan diri dan sering memandang rendah pada orang lain. Tetapi aku masih dapat menerimanya. Tidak semua orang sempurna. Sebaik manapun orang itu, pasti ada kelemahannya. Adam, sebelum mendapat tawaran di sekolah yang sama denganku, dia pernah bersekolah di sebuah sekolah agama selama tiga tahun. Aku pula hanya bersekolah harian biasa sebelum mendapat tawaran ke sekolah berasrama penuh kami.

Adam seperti yang dijangka, pasti mempunyai pengetahuan agama yang banyak berbanding diriku. Secara tidak langsung, dia pernah juga memberi nasihat yang tidak terlalu formal kiranya pada diriku. Dia tahu aku tidak memakai tudung di luar. Dia tahu aku mempunyai teman lelaki. Dia tahu aku bukanlah seperti pelajar-pelajar wanita di sekolah agamanya dahulu. Aku remaja perempuan yang jahil tentang agama. Aku pelajar perempuan yang mempunyai pergaulan yang luas di luar sekolah. Dia tahu semua itu. Tetapi mengapa dia masih mahu berkawan denganku? Mungkin kami sama-sama tahu tentang pergaulan remaja di luar sekolah. Cuma pengetahuan dia tentang agama jauh lebih mendalam dariku. Itu yang berbeza tentang kami. Tidak sampai setahun aku bersekolah dan berkawan dengannya, aku mengambil keputusan memakai tudung sepenuhnya. Allah menyampaikan utusan melalui rakan-rakan di sekelilingku.

Aku masih ingat pada suatu hari, aku, Adam dan rakan-rakan lain berborak-borak di dalam kelas. Tiba-tiba Adam bersuara, “Rina, apakata aku cabar kau supaya kau berpakaian menutup aurat dengan sempurna pada prep malam nanti?”
“Maksud kau?” aku tidak begitu mengerti.
“Maksud aku, kau memakai tudung labuh, stoking dan stoking tangan pada prep malam nanti.”
“Mana aku nak cari tudung labuh dan barang-barang yang lain itu semua? Aku mana pernah ada.” Aku kehairanan.
“Alah, kan ada juga pelajar sekolah ini yang bertudung labuh. Aku nak cabar kau tahu!”
Adam mengangkat kening tanda dia bersungguh.
“Apa yang aku dapat kalau aku sahut cabaran kau?”
Aku berpendapat mesti ada habuannya. Kalau tidak, sia-sia sahaja aku menyahut cabaran itu. “Aku beri kau dua ringgit.” Adam tersengih. Dua ringgit saja? Aku punyalah susah nak cari barang-barang itu semua tetapi dua ringgit saja dapat. Aku hanya mencebik.
“Tak cukup? Tak apa, kita tanya Fairul dan Hashim. Tengok mereka mahu ke tidak turut serta.”
Adam menoleh kearah Fairul dan Hashim dan menyatakan tentang cabaran itu. Aku lihat Fairul dan Hashim tersenyum dan mengangguk-angguk.
“Kami turut serta. Aku cabar kau dengan dua ringgit juga.” Fairul berkata.
“Aku lagi tinggi dari kau dua orang. Aku cabar kau dengan tiga ringgit.” Hashim ketawa nakal.
“Alahai, lebih seringgit saja. Nak bangga lebih-lebih pula.” Aku mengejek Hashim.

Jadinya, kesemua cabaran itu bernilai tujuh ringgit. Sebenarnya, aku tidaklah mahukan tujuh ringgit itu. Tidak mungkin aku kemahuan dengan duit yang tidak sampai sepuluh ringgit itu. Yang pasti, sudah lama juga aku berasa untuk memakai tudung labuh macam wanita-wanita yang wara’ pakai. Cuma tiada kesempatan. Tidak mungkin aku mahu memakainya secara suka-suka. Pasti kenalanku akan kehairanan dengan penampilanku jika aku memakainya. Masakan tidak, sikapku yang agak gila-gila dan tidak begitu menjaga peribadi sebagai wanita timur mahu berpenampilan bertudung labuh. Memang suatu perkara yang paling pelik berlaku. Petang itu, selepas habis kelas. Aku terus sahaja meluru pulang ke asrama. Tujuanku hanya satu, mahu mencari pakaian-pakaian tersebut. Tudung labuh, stoking dan stoking tangan. Aku meminta bantuan rakan-rakanku untuk bertanya tentang pakaian-pakaian itu. Ramai juga yang mengetahui tentang cabaran itu. Semestinya aku menimbulkan konspirasi terutama dalam kalangan naqibah. Mereka tidak begitu menyetujui tindakanku yang seolah-olah mempermainkan agama dalam menyahut cabaran yang hanya sia-sia belaka. Tetapi hati kerasku berkata mahu meneruskan juga cabaran itu. Bukan untuk tujuh ringgit tetapi untuk merasa memakai pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Tidak pernah aku menutup aurat dengan sempurna selama aku hidup di bumi Allah ini. Jenuh juga hendak mencari tudung labuh di asrama aku. Akhirnya, aku berjumpa dengan salah seorang pelajar perempuan yang memang dikenali dengan wara’. Aini, orangnya semanis namanya. Kecil molek sahaja namun begitu lemah lembut apabila berkata-kata. Adam pernah juga bercerita tentang kekaguman dia tentang pengetahuan Aini dalam agama. Pertama kali, aku berborak dengan Aini untuk meminjam tudung labuhnya.




Ternyata orangnya begitu peramah dan baik hati. Jauh sekali meleset anggapanku yang wanita-wanita bertudung labuh merupakan golongan yang tidak bercampur-gaul dengan orang ramai dan menyendiri. Aini ternyata seorang yang senang diajak berbicara dan ringan hati untuk memberiku pinjam tudungnya. Jauh di sudut hati, aku berasa tersentuh dengan kehalusan budi dan tutur katanya. Aku masih ingat lagi, tudung labuh milik Aini itu berwarna biru laut. Aku mengenakan tudung itu dengan baju kurung yang berwarna biru kehijauan. Aku lantas teringat kata-kata ustazahku ketika aku sekolah agama dahulu.

“Nabi suka warna merah jambu, hijau, dan biru. Kenapa? Kerana merah jambu itu warna kuku kita, lidah kita dan bibir kita. Hijau pula warna alam ini. Tidak kurang dengan biru. Biru adalah warna laut.” Aku tersenyum.

Itulah tahun terakhir aku bersekolah agama. Selepas itu, aku langsung tidak bersekolah agama sejak umur 10 tahun. Aku suka sekolah agama kerana aku suka mendengar ustazah berbicara di hadapan kelas menceritakan sirah Nabi. Ustazah begitu pandai bercerita dan aku tidak pernah jemu untuk mendengar bicara ustazah. Ah, ternyata aku sekarang sudah jauh tersasar. Kalau aku tidak mengikut fesyen zaman sekarang, aku akan digelar kuno! Itu yang aku takuti. Takut digelar kuno! Malam itu, aku mengenakan tudung labuh milik Aini, baju kurung seniorku, stoking seniorku dan stoking tangan rakanku. Kelakar bukan? Segalanya aku pinjam dari orang lain. Keluar sahaja dari dorm, ternyata ramai yang kehairanan melihatku. Tidak kurang juga yang terkejut dengan penampilanku. Ada yang bertanya tentang pakaianku, namun aku lebih rela berdiam diri. Tidak mahu memberi sebarang komen.

Apabila aku menghampiri kelas, kelihatan ramai pelajar kelasku sedang menunggu kehadiranku. Tiga langkah, dua langkah aku hampir ke kelas. Rakan-rakan kelasku mentertawakanku. Aku jua turut tersenyum sahaja. Tidak mampu untuk bergelak ketawa bersama kerana aku kini adalah wanita bertudung labuh. Aku perlu menjaga peribadi sebagai wanita bertudung labuh. Aku terus sahaja melabuhkan punggung di kerusi. Tidak mahu melayan karenah rakan-rakanku yang begitu galak mengusikku.

Salah seorang rakan lelaki sekelasku berkata, “Macam inilah baru yang dikatakan wanita mahal.”

Kata-kata itu begitu terkesan dalam hatiku. Maksudnya, selama ini aku adalah murahan? Ya Allah, apakah yang telah aku lakukan? Aku menangis di dalam hati.

Suatu perasaan yang tidak pernah aku rasakan ada dalam diriku ini. Aku berasa begitu selamat apabila memakai tudung ini. Aku berasa tenang. Hanya Allah yang tahu bagaimana syahdunya perasaan itu. Pada malam itu, aku hanya berdiam diri. Adam ada juga menoleh sesekali padaku, dia hanya tersengih melihat kelakuanku yang agak berbeza berbanding sebelum ini. Sungguh aku katakan, malam itu begitu bermakna dalam diriku. Kesudahan cabaran itu, aku tidak mendapat tujuh ringgit seperti yang dipertaruhkan. Aku tidak ingin mengambil pun duit itu andai mereka mahu memberinya kerana aku telah mendapat lebih dari tujuh ringgit. Jauh lebih bernilai dari tujuh ringgit. Berikutan malam itu, hatiku meronta-ronta untuk mengetahui tentang Islam yang telah aku ketepikan.






Aku mula bersungguh-sungguh mengikuti program-program agama yang dijalankan di sekolahku. Aku juga turut mendekati al-Quran yang telah lama aku tinggalkan. Rakan-rakanku sentiasa ada di sisi untuk membantu. Adam pula aku masih rapat dengannya. Aku tidak pasti sama ada dia sedar bahawa dia telah membawa perubahan besar dalam hidupku. Aku masih ingat lagi tarikh itu, 16 November 2007. Aku pulang ke rumah dengan azam baru. Aku benar-benar bertekad untuk mengenakan tudung di kepalaku. Kenalanku pasti terkejut dengan perubahanku. Aku sudah meninggalkan pakaianku yang ketat menampakkan susuk tubuhku. Aku tidak lagi mengenakan pakaian yang boleh menampakkan susuk tubuhku. Aku mula mengenal rasa malu untuk memperlihatkan bentuk tubuhku kepada lelaki. Aku sudah memutuskan hubungan dengan teman lelaki dan tidak berhubungan dengan mana-mana lelaki. Aku juga sudah mula membataskan pergaulanku dengan lelaki. Terima kasih, Ya Allah. Tahun 2008, apa jadi dengan Adam aku tidak pasti? Kami tidak lagi berada di dalam kelas yang sama. Mungkin itu yang terbaik buat kami. Mana mungkin kami boleh berkawan rapat.

Pada tahun itu jugalah yang menyaksikan perubahan dalam diri Adam. Hari demi hari berlalu, dia bukan lagi Adam yang kukenali dahulu. Dia kini seorang yang tamak pada jawatan. Adam juga bukan lagi seorang rakan yang ikhlas dalam berkawan. Apabila kami berjumpa pasti ada sahaja yang dia mahu meminta pertolongan. Dia kini berkawan apabila akan mendatangkan kebaikan buatnya. Aku dan Adam semakin renggang. Bukan aku seorang sahaja yang menyedari perubahan ini, malahan Fatin sendiri berkata, “Aku nampak sungguh perubahan kalian. Bagaimana kalian yang dulunya ibarat isi dengan kuku kini menjadi matahari dengan bulan, tiada lagi kelihatan seperti kalian boleh bersama-sama bergelak ketawa.” Aku hanya tersenyum mendengar celoteh Fatin.

Dalam diam, aku mengiakan kata-katanya. Aku turut jauh hati dengan sikap Adam. Kami hanya bercakap apabila benar-benar ada perkara penting yang perlu kami uruskan memandangkan kami bekerja di dalam biro yang sama. Adam pula sudah banyak kali aku dengar membawa mulut yang boleh menimbulkan salah faham antara rakan-rakan lelaki di sekolahku. Yang terakhir kalinya, aku mendapat tahu bahawa dia telah mengkhianati rakan baiknya sejak dari kecil dengan menyebarkan cerita yang tidak enak kepada orang lain. Bermula daripada itu aku tidak lagi bertegur sapa dengannya. Jikalau kami bertembung di sekolah, kami ibarat dua insan yang tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Aku tidak pasti sama ada aku boleh berkawan dengannya seperti dulu.

Aku tidak tahu sama ada dia pernah bercerita tentang keburukan aku kepada orang lain. Adam juga telah dipulaukan oleh pelajar lelaki di sekolahku kerana dia sering sahaja mereka-reka cerita tentang orang lain. Aku sungguh tidak dapat menerima perubahan besar dalam dirinya. Kadang-kala, aku teringat kata-kata yang berupa janji darinya padaku. ‘Aku pentingkan kawan selain keluarga aku’. Aku benar-benar kecewa dengan dirinya. Dalam masa yang sama, aku terhutang budi padanya. Kerana dia aku terbuka hati untuk berubah. Jikalau tidak kerana cabaran tujuh ringgit itu, mungkin sehingga sekarang aku masih tidak memakai tudung dan pergaulan sosialku masih lagi bebas. Mesej-mesejnya sebentar tadi membawaku kepada kenanganku ketika tingkatan empat.

"Dah tidur? Aku nak tanya sesuatu..."
“Sudah terlelap kiranya. Mengapa?”
“Ada perkarakah yang membuat kau marah padaku? Kau tidak suka padaku lagikah? Kita tidak seperti dulu, ketika tingkatan empat.” “Tingkatan empat sungguh berbeza. Kau tahu bukan waktu itu aku masih lagi jahil. Tiada perkara yang aku boleh marah pada kau. Tiba-tiba saja kau bertanya. Mengapa?”
“Bukan apa, kita rapat ketika tingkatan empat. Sungguh menggembirakan. Sekarang, kadang-kadang kau seperti menyindir aku bila bercakap denganku. Mungkin ada mesej yang kau mahu sampaikan padaku.”
“Kadang-kadang? Mungkin aku tersindir barangkali. Kau pun tidak kurang, banyak berubah ketika tingkatan lima. Aku tidak pasti sama ada aku seorang sahaja yang perasan tentang perubahan kau.”
“Aku akui ketika tingkatan lima aku sudah berubah. Tapi sekarang aku sudah kembali seperti dulu. Maafkan aku. Aku rindukan ketika kita berada di tingkatan empat. Sangat seronok.”
“Mungkin kau sudah belajar dari kesilapan. Aku juga rindu ketika kita di tingkatan empat dulu. Tapi untuk kita kembali berkawan seperti dulu, mungkin memerlukan masa. Kau selalu berbohong bila berkata. Kepercayaanku terhadap kau sudah musnah.” “Ceritalah padaku apa yang berlaku.”
“Aku sudah lupa tentangnya. Engkau lebih tahu dari aku, bukan?”
“Apa yang mampu aku lakukan lagi, Rina. Kau sudah tidak percaya pada diriku.”
“Sesuatu yang normal, Adam. Tidak semua orang boleh percayakan kita. Aku pasti kita boleh kembali seperti dulu. Aku belum lagi dapat melihat diri kau yang aku kenal ketika kita pernah menjadi sahabat dulu.”
“Baiklah. Aku tidak mahu memaksa. Sekurang-kurangnya aku sudah dapat memberitahu kau apa yang aku rasa. Terima kasih. Selamat malam.”

Adakah aku telah melakukan dosa memutuskan silaturrahim? Tidak mungkin aku boleh mengembalikan persahabatan kami. Dia lelaki, aku perempuan. Ada batas yang memisahkan antara kami. Mana mungkin aku berkawan rapat dengannya. Aku sudah berjanji untuk berubah. Aku sudah berjanji untuk menjadi insan yang lebih baik. Janjiku bukan pada sebarangan orang. Aku berjanji pada TUHAN Yang Maha Esa.

Hatiku berbisik, maafkan aku, Adam. Biarlah persahabatan kita berlalu begitu sahaja walaupun pahit. Aku percaya itulah yang sebaiknya buat kita.

Semoga Allah memberi petunjuk yang terbaik.






So, aku harap dapat pengajaran daripada cerita ni.
Muslimin dengan muslimat mesti ada hijab.
Wokey, donkey.
I'm off now.
*saat-saat genting nak pergi KL malam ni*

Wallahualam.
Wassalam.
Post a Comment