Pergi.

15.2.15

Pagi itu, hatinya terasa sayu sedikit. Tapi digagahkan jua diri untuk bersiap-siap, untuk bertemu sahabat baiknya. Baju-T biru dan seluar jeans disarung. Rambutnya yang sudah sedikit panjang dibetulkan, disikat-sikat bagi nampak kemas. Terus dia capai kunci motorsikal dan dompetnya sebelum keluar dari rumah.

Sewaktu dalam perjalanan, fikirannya hanya separa fokus akan pemanduannya. Mujurlah jalan raya pada hari itu lengang. 'Pandai betul mamat ni pilih masa.'

Tiba di Taman Titiwangsa, dia memarkir motorsikalnya di bawah pohon yang rendang. Helmetnya dibuka dan dia atur langkah ke bangku berdekatan. Tempat biasa dia dan sahabatnya lepak. Dikelihnya jam di tangan, 4.58 petang. Dia senyum. Sememangnya dia dan sahabat menjaga ketepatan waktu. 'Seminit lagi sampailah tu.'

Jangkaannya tepat. Tepat jam 4.59 sahabatnya sampai, tersengih busuk ke arahnya.

"Kalau ikut jam aku, kau lambat seminit. Kalau ikut jam betul, kau awal seminit," selorohnya.

Sahabatnya itu tergelak sebelum mengambil tempat duduk di sebelahnya.

Mereka diam sejenak, memerhati suasana sekeliling. Ramai yang sedang beriadah, sesekali ternampak beberapa orang kanak-kanak sedang saling mengejar dan girang ketawa, gembira dapat bersama.

"Fadhli, ada apa ni, nak jumpa?" soalnya.

Fadhli tersenyum mengusik, "Aih, nak jumpa pun dah tak boleh ke sekarang? Dah jumpa pengganti aku keeee?"

Dia ketawa besar. "Lawak kau...tak lepas audition weh. Takdelah, mesej WhatsApp kau bunyi macam urgent je. What's up?"

"Aku dah nak kahwin, Mat."

Besar biji mata Mat dibuatnya. "Serius?"

"Yup. Takkan nak tipu benda-benda macam ni."

Satu senyuman lebar dikuntum Mat. Tangannya memaut bahu Fadhli dan digoncang-goncang. "Congrats, bro! Ish, happy aku dengar! Dengan siapa?"

Kali ini, Fadhli ambil masa sebelum menjawab. Setelah tiga detik berlalu, dia balas, "Aisyah."

"Oh."

"Mat, kau okey?"

"Okey-lah. Dah jodoh kau dengan dia."

Resah Fadhli dibuatnya. Aisyah merupakan kekasih lama Mat. Mereka bertiga dari kampung yang sama. Mat dan Fadhli membesar sama-sama.

"Kau tak marah?" tungkah Fadhli.

Mat menepuk dahinya. "Lahhh... Buat apa nak marah, Li oiii. She's my past. Jodoh kau dengan dia, alhamdulillah lah."

Suasana sepi seketika. Hanya kedengaran suara angin menderu dan kanak-kanak yang sedang bergembira di seberang.

"Bila nikahnya?" soal Mat.

Sekali lagi Fadhli ambil masa untuk menjawab. "Dua minggu depan," jawabnya perlahan.

"Perghhhhhhh baru nak beritahu aku sekarang ke?! Baguihhh punya kawaannnnn!" Mat memandang Fadhli.

Fadhli tersipu-sipu. "Aku takut kau marah..."

"Ish kau ni. Kalau takut aku marah, patutnya kau kena beritahu aku awal-awal lah. So that if aku mengamuk, kau still ada masa nak tenangkan aku supaya aku tak buat rancangan nak sabotaj kau. Ni bagitahu lambat-lambat, tak sempat la nak stop aku," jawapan Mat membuatkan kedua-dua sahabat itu ketawa.

Setelah itu, mereka berbual-bual sedikit dan Fadhli menghulurkan kad jemputan kahwinnya kepada Mat.

"Nikah malam sebelum. Datang tau. Orang penting kau tu," ujar Fadhli.

"Yelah...yelah," balas Mat.

Kemudian, Fadhli membuka cerita. "Sebenarnya, lepas kau putus dengan Aisyah, Mummy aku yang selalu dengan Aisyah. Yalah, Aisyah kerja dekat butik Mummy kan... Then, entah macam mana, Mummy lamar dia jadi menantu. Hmm... Kat rumah tu siapa lagi yang anak teruna belum kahwin, aku-lah... Aku pun setuju je..."

Mat setia mendengar. "And then?"

"Aku setuju sebab..."

"Kau dah lama suka kat dia? Heh," Mat meneka.

Fadhli pucat. "Macam mana kau tahu?"

"Alah... I can see it from your stares lah, brader. But because your good and gorgeous friend ni tengah sweet sweet dengan dia, kau buat dunno je kan? Sepandai-pandai kau, aku ni kawan baik kau tau. Takkanlah gesture macam tu aku tak perasan. Cuma masa tu aku lembab sikitlah. Lepas aku break dengan dia baru aku terfikir," ujar Mat dengan senyuman kambing. 'Dan sebenarnya aku nak bagi kau jalan,' tambahnya dalam hati.

Fadhli senyum.

Mereka kemudiannya bersurai setelah Fadhli memaklumkan bahawa dia ada hal yang perlu diselesaikan.

"Nak gi beli barang kahwin lettew!" usik Mat.

Dalam perjalanan pulang, barulah Mat membiarkan dirinya bersedih. Mana tak sedih, kekasihnya selama lima tahun, putus di tengah jalan pula tu, bakal jadi isteri kepada sahabat baiknya.

'Patutlah rasa sedih semacam je sebelum jumpa mamat tu. Aduiii,' gumamnya sendirian.

Dia sampai di rumah sewanya sejam sebelum Maghrib. Punggung dilabuhkan di sofa ruang tamu dan matanya dipejam seketika.

'Li... Li... Jodoh Aisyah dengan kau rupanya. Lawak pulak cerita ni. Kerja Tuhan...magnifico,' bisiknya sendiri lagi.

Meskipun begitu, hatinya senang, mengetahui bahawa kawan baiknya akan mendirikan rumahtangga. Tambah-tambah lagi, dia kenal Aisyah. Calon isteri yang baik, dan tanpa ragu akan buat Fadhli bahagia. Setelah sekian lama, biarlah Fadhli menemui bahagianya. Sudah cukup rasanya tulisan derita dalam hidup Fadhli. Biarlah Aisyah menyambungnya dengan coretan bahagia pula.

Namun, ada sesuatu yang mengiringi perasaan sukanya. Hatinya tetap sayu. Dan sayu itu bukan kerana Aisyah.

*****

Tiga hari kemudian, Mat yang baru pulang dari hospital, tempat kerjanya, menerima satu panggilan dari Datin Munerah, ibu Fadhli.

"Assalamualaikum aunty," sapanya.

"Waalaikumussalam. Mat... Mat..." kedengaran suara di hujung talian dalam esakan tangisan.

"Aunty, kenapa ni? What happened?"

"Fadhli, Mat... Fadhli..." kata-kata Datin Munerah masih belum menjawab persoalan Mat.

Kini hatinya cuak. Takut. Kenapa dengan Fadhli?

"Penyakit dia datang lagi. Dah tahap kronik. Last stage, Mat... Dah last stage..." sedu sedan Datin Munerah dapat didengar Mat.

'Ya Allah...belum tamatkah derita buat Fadhli?'

Fadhli dulu penghidap penyakit leukimia dari umurnya sepuluh tahun, setahun selepas perkenalan dia dengan Fadhli. Namun, dek kerana wang yang melimpah-ruah dalam keluarga Fadhli, akhirnya dengan izin Tuhan dia dapat disembuhkan setelah dihantar berubat ke luar negara.

"Bukan dia dah sembuh, aunty?" soalannya bernada mati. Kosong. Dia tahu kepada soalannya sendiri, tapi dia merasakan perlu untuk mendengar jawapan daripada mulut orang lain.

"That disease can attack him back. And it did! And he hid it from us! Until we found him lying on his bed this morning, with all the blood on his face, coming from his nose! You, of all people should know!" Datin Munerah seolah-olah histeria di hujung panggilan, dan kedengaran ada seseorang yang menenangkannya.

Mat mematikan panggilan sebelum dia bergegas memacu kenderaan dua rodanya ke hospital, untuk kali kedua pada hari itu.

Hatinya membara. Hatinya takut. Dia takut, tidak rela kehilangan Fadhli. Sahabatnya dari kecil. 'Tolonglah, Ya Tuhan... Jangan...' hati kecilnya berdoa. Pacuan dua rodanya bergerak laju, berhati-hati. Setibanya di rumah sakit, dia segera masuk, menuju ke lif untuk ke tingkat 5 dan disapa oleh seorang jururawat yang dikenalinya di kaunter.

"Eh, Doktor Uwais? Tadi bukan dah balik ke?" tanya nurse tersebut.

"Ada hal. Patient bernama Wan Ahmad Fadhli bin Dato' Wan Firdaus, bilik nombor berapa?"

*****

"Kenapa kau tak bagitahu aku?" soalnya perlahan, tak puas hati.

Pedih hatinya melihat Fadhli terlantar lesu di atas katil bilik VIP.

Wajah pucat Fadhli tersenyum. "Takut jadi macam ni lah. Bukan kau boleh buat apa pun kan?"

Tersentak Mat dengan jawapan Fadhli. Sebelum dia dapat membalas Fadhli, Fadhli sudah tahu apa yang ingin dikatakan Mat, dan dia tidak membiarkan Mat berbicara dulu.

"Aku tahu kau doktor. Kau rasa kau boleh buat something. Tapi aku tahu kau bukan expert dalam bidang penyakit aku ni kan? Heh. Aku dah berubat dulu, ingat? Sembuh, alhamdulillah... Aku rasa second time ni tak perlu -," ayatnya tidak dapat dihabiskan kerana dipotong laju oleh Mat.

"Habis tu, kau nak berputus asa?! Redha je tanpa berusaha?!" suara Mat yang tadinya perlahan sudah dinaikkan sedikit.

"Mat, I can feel it, it's my time."

"No... Kau... Kau..." air mata Mat hampir tumpah.

"Lagipun it'll be a waste of money if I do the treatment again. And I don't have the confidence that my body will be able to fight it again this time," ujarnya perlahan dengan senyuman.

Nafas ditarik panjang. "You can't leave me, not yet."

Fadhli tergelak. "Ayat kau macam kau ni kekasih aku je," ucapnya.

"This is not funny, Li. Not even close to it," balas Mat, serius.

"Mat, selama ni, kau terima aku sebagai kawan, Mat. Dulu, aku ingat lagi. Aku baru masuk sekolah sekolah, duduk kat meja. Sorang-sorang. Tak ada orang pun nak kawan dengan aku sebab aku selekeh, nampak macam orang miskin. No one, Mat. No one. Kecuali kau. Kau datang kat aku, offer makanan kau. Kau kata mak kau buat, biasa-biasa je tapi sedap. Kau je yang nak kawan dengan aku, Mat. Dan sejak tu, kau setia kawan dengan aku. Kau terima baik buruk aku. Bila kau tahu aku anak orang kaya, kau tak ambik kesempatan, kau tetap setia jadi kawan aku, Mat. Aku bersyukur Allah hadiahkan kau dekat aku. Aku pun tahu, kau banyak berkorban untuk aku. Aku tahu kau break dengan Aisyah...sebab aku. Aku tahu," Fadhli berkata dalam susah payah dan linangan air mata.

"Kalau boleh, Li, biar aku kat tempat kau. Biarlah aku sakit, bukan kau... Biarlah aku ganti tempat kau..." Mat menutup wajahnya dengan telapak tangannya.

"Aku tahu kau sanggup buat semua tu, Mat. Tapi kita hanya manusia. Ini semua kerja Tuhan. Kalau aku tak ada nanti, kau kena lepaskan aku, OK?" tangan Fadhli mengesat air matanya sendiri.

Mat memegang bahu Fadhli. "Aku tak tahu, Li... Aku tak tahu."

*****

Jenazah Fadhli selamat dikebumikan. Mat menaiki kereta bersama-sama dengan pemandu, Pak Haris, Dato' Firdaus dan Datin Munerah. Hanya suasana suram mengelilingi mereka. Sekali-sekala terdengar esak tangis Datin Munerah sambil ditenangkan oleh Dato' Firdaus.

Setibanya di rumah agam milik Dato' Firdaus, mereka berempat turun dari kereta dan disambut oleh pembantu rumah, Ibu Zahrah. Dato' Firdaus menyuruh Ibu Zahrah membawa isterinya masuk dan berehat. Dato' Firdaus mendekati Mat dan dia mempelawa Mat ke bangsal berdekatan kolam ikan.

"Mat OK?" tanya Dato' Firdaus, lembut.

Satu senyuman lemah dihadiahkan buat ayah almarhum sahabat baiknya. "Kalau tak OK pun, uncle, kenalah OK. Yang hidup kena teruskan hidup," balasnya perlahan dan air matanya menitis setitik.

Dato' Firdaus menepuk-nepuk bahu Mat, memberikan sedikit kekuatan untuk Mat teruskan perjalanan kehidupan tanpa sahabat karibnya di sisi.

"Li tu sahabat baik saya, uncle. Apa-apa pun, dialah jawapan. Saya sedih, dia ada. Saya gembira, dia ada. Pendek kata, semua saya, dia ada. Tapi Allah lebih sayangkan dia, kan, uncle? Orang baik-baik Allah ambil awal-awal..." luah Mat.

Dato' Firdaus tersenyum. "Mat, Mat... Uncle beruntung, Fadhli pun beruntung. Anak uncle ada kawan yang baik macam kamu ni."

****

Beberapa hari kemudian, Dato' Firdaus menemui Mat di tempat biasa Mat dan Fadhli lepak. Mereka duduk di bangku yang sama yang selalu Fadhli dan Mat guna. Saja Dato' Firdaus berbuat demikian, dia tahu Mat rindukan Fadhli, mungkin lebih daripada dirinya.

Perbualan ringan dimulakan sehinggalah Dato' Firdaus diam sejenak, kemudian berdehem perlahan.

"Uncle tahu ni macam terlalu awal. Tapi Fadhli mintak uncle sampaikan kat Mat secepat mungkin. Pasal pernikahan dia dengan Aisyah..." sengaja Dato' Firdaus tidak menghabiskan ayatnya.

Hati Mat tersentak. "Uncle..." suaranya merayu agar perkara itu tidak dipanjangkan.

"Kad jemputan dah siap, Mat. Semuanya dah siap, Mat. Pengantin perempuan dah ada. Pengantin lelaki je tak ada, Mat. Kamu tak kesian ke dekat Aisyah? Lagipun, Li yang nak kamu berdua ke alam rumahtangga. Takkan lima tahun itu tak memberi makna apa-apa?"

Mat diam. Sejujurnya hatinya berat.

"Kamu fikirlah betul-betul. Uncle, erm...ada ajak Aisyah. Itu dia sampai," beritahu Dato' Firdaus.

Laju Mat mengangkat wajahnya, dan kelihatan di hadapan mereka berbaju blaus biru dan berskirt krim, dengan lilitan shawl di kepalanya tersenyum ke arah mereka berdua. Di dahinya ada sedikit kerut.

"Assalamualaikum, uncle, Mat..." ucapnya lemah lembut.

"Waalaikumussalam. Duduklah, Aisyah. Uncle tinggalkan kamu berdua. Uncle nak jalan-jalan tepi tasik," Dato' Firdaus bangun dan meninggalkan mereka berdua. Mat menghengsot ke hujung bangku, memberi ruang untuk Aisyah duduk di hujung bangku belah sana.

"Apa khabar?" tegur Aisyah.

Mat hanya memandang tanah. "Sihat, alhamdulillah," jawabnya sedikit dingin.

"Abang Mat..."

"Aku tak boleh, Syah. Kalau kau ke sini, sebab nak suruh aku jadi pengantin lelaki... Aku tak boleh. Allah... Maafkan aku. Aku tak boleh, Syah. Mungkin kita tak berjodoh. Tapi kalau ya, biarlah waktu yang tentukan."

Aisyah terdiam. Air matanya mengalir perlahan. Beginikah kesudahannya? Sudahlah lelaki yang disayanginya meninggalkannya dulu tanpa sebab, bakal suaminya meninggalkannya bertemu Tuhannya, sekarang lelaki yang sama yang masih disayanginya masih berdegil tidak mahu bersamanya.

"Maafkan aku, Syah. Aku tak pernah beri harapan, kan, lepas kita putus dulu? Keadaan masih sama, Syah. I'm so sorry. Bye, Syah. Assalamualaikum," dan dengan itu, Mat berlalu pergi, meninggalkan Aisyah sendiri sambil disaksikan dari jauh oleh Dato' Firdaus.

****

"Aku tahu kau putus dengan Aisyah sebab kau dah tahu yang aku ada hati kat dia, kan?" Fadhli menduga Mat di katil hospital.

Mat diam, tidak mengeyakan atau menidakkan.

"Mat?" panggil Fadhil perlahan. "Jawablah, Mat." Suaranya seakan merayu.

Mat mengangguk. "Ya," sepatah dia jawab.

"Kenapa? Kenapa sanggup tinggalkan satu-satunya gadis yang kau cintai sebab aku? Kenapa, Mat?"

Mat bangun dari duduknya. "Sebab kau lagi penting, Li! Kau kawan baik aku dunia akhirat! Aku nak tengok kau bahagia, Li! Biarlah aku tak dapat Aisyah, asalkan kau dapat kebahagiaan kau!"

Air mata Fadhli menitis lagi. "Mat..."

"Jangan bagitahu Aisyah, Li, aku masih sayangkan dia. Please."

------

Fadhli, aku tahu hasrat kau nak tengok aku dengan Aisyah bersama. Aku mintak maaf, Li. Biarlah Aisyah cari orang lain, Li. Aku rindu kau, Li, sungguh. Terima kasih, Fadhli, atas persahabatan kita. Semoga bahagia di sana. - Muhammad Uwais

~end~

Post a Comment